Wednesday, March 24, 2010

DARI MEJA SETIAUSAHA BIL. 1/2010

Assalamualaikum wrt. wbt.

Ke hadapan para ibu-bapa yang dihormati Allah swt sekalian. Iringan doa agar semuanya berada dalam sihat wal 'afiat serta beroleh keredhaan Allah sepanjang masa.

SELAMAT DATANG WARGA MTQI BARU
Alhamdulillah pada 10 Januari 2010 MTQI telah menerima seramai 16 orang pelajar baru, menjadikan jumlah pelajar pada masa ini seramai 46 orang (termasuk 5 orang pelajar bersekutu). Ini bermakna, dalam masa yang sama MTQI menjalin hubungan MTQI-ibu/bapa dengan sekurang-kurangnya 32 orang lagi ibu-bapa. Jika mengambil kira adik-beradik pelajar dan atuk,nenek dan seumpamanya, jumlah pelanggan MTQI adalah lebih ramai lagi. Subhanallah, betapa Allah telah memudahkan jalinan persaudaraan antara kita dalam rangka memperolehi nikmat mukjizat terbesar Allah (al-Quran). Semoga kehadiran warga baru MTQI akan menambahkan lagi kemeriahan dan warna-warni MTQI.

AMANAH BUAT GURU DAN PENGURUSAN
Pertambahan warga MTQI datang bersamanya cabaran. Mengurus kecemerlangan dan menjulang pencapaian yang lebih tinggi (dari segi hafazan, akademik, sahsiah) bukannya kerja mudah. Di bahu para pendidik dan pengurusan terpundak tugasan dan cabaran dalam merialisasikan cita-cita bersama kita melahirkan huffaz yang serba boleh dalam waktu sesingkat mungkin.

..DAN PENGERTIAN DARI SEMUA
Pengertian dan pengorbanan para pelajar, ibu-bapa dan anggota keluarga, serta iringan doa semua adalah penawar dan pemangkin kepada para pendidik dan pengurusan dalam menggalas amanah yang diberikan. Insya Allah berkat kesungguhandan keikhlasan semua, tiada apa yang mustahil untuk dicapai selagi Allah swt memberi keizinan dan anugerahnya.

TEMPOH PENUH CABARAN
Lumrah, pada 1-2 bulan pertama selepas pelajar baru mendaftar di MTQI (dipanggil tempoh penyesuaian), pelbagai karenah timbul, baik di pihak pelajar hatta ibu-bapa. Pelajar perlu menyesuaikan diri dengan alam kehidupan berasrama, berjauhan dari keluarga, apatah lagi alam menghafaz al-Quran yang pertama kali dialami. Di pihak keluarga, kenyataan terpaksa melepaskan anak-anak kecil yang masih perlukan belaian dan bimbingan serta kasih sayang, bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Tapi itulah kenyataan. Tiada jalan mudah untuk berjaya.

.;:Setiausaha:;.

No comments: