Tuesday, January 12, 2010

AHLAN WA SAHLAN FI RIHAB AL-QURAN (Selamat Datang Ke Taman Al-Quran)

Assalamualaikum wrt. wbt.,

Alhamdulillah, kita dapat bersua kembali di lapangan maya ini. Terima kasih kerana sentiasa memberi sokongan dan sentiasa ingin mengetahui perkembangan semasa MTQI. Pada kali ini penulis akan menyentuh berkenaan kehadiran adik-adik baru ke bumi MTQI demi mempunyai cita-cita yang tinggi untuk memperolehi segulung syahadah al-Quran.

Pertama sekali, diucapkan Selamat Datang ke Taman Al-Quran kepada adik-adik ini yang mula berdaftar pada 10 Januari 2010 yang lalu. Begitu juga tak dilupakan pada adik-adik lama yang sudah mula memulakan pengajian pada 4 Januari 2010 yang lepas (setelah bercuti seminggu sebelum itu).

Semenjak lebih kurang sebulan yang lalu pihak MTQI telah mula bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menyambut kehadiran adik-adik baru yang berminat untuk memasuki ke pengajian di sini. Namun, saat yang ditunggu-tunggu itu akhirnya menjelma juga dengan sambutan Hari Pendaftaran dan Silaturrahim 2010 bertempat di Dewan Solat, Surau Al-Islah pada jam 1.45 petang.


Setelah melihat komitmen pelajar baru serta keluarganya yang begitu bersemangat dan semangat muhibbah ahli MTQI melalui kehadiran mereka pada tepat jam 2.00 petang itu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari pengerusi majlis Hj. Al-Azmi bin Bakar, lalu dimeriahkan dengan persembahan 2 buah lagu nasyid (yang bertemakan al-Quran dan wasiat untuk penuntut ilmu) dari anak-anak MTQI di dalam majlis yang serba meriah ini.
Majlis pun diteruskan dengan ucapan Pengerusi MTQI, Dr. Hj. Abd. Hakim bin Abd. Ghani, ucapan Pengerusi Jemaah Ibu Bapa MTQI, Ahmad Halimi bin Kasani, ucapan Mudir MTQI, Ustaz Mohamed Yunoos b. Faidzuddein, dan ucapan Ketua Warden MTQI, Ustaz Jalaluddin bin Adnan.

Majlis juga diserikan dengan alunan suci ayat al-Quran yang disampaikan oleh adik Syahar Azani bin Yusop (secara hafazan), serta ditayangkan tayangan Taklimat I (Mengenali MTQI) dan Taklimat II (Kehidupan Seharian Pelajar) bagi memperjelaskan dengan lebih lagi kepada ibu bapa berkenaan maklumat-maklumat yang mereka ingin tahu.








Lalu majlis diteruskan sesi soal-jawab bagi menghuraikan beberapa kesamaran yang mungkin ada lagi dalam kotak fikiran ahli-ahli baru MTQI ini.

Sebelum majlis ditangguhkan seketika untuk laluan solat Asar, MTQI memberi beberapa anugerah kepada anak-anak MTQI yang telah menunjukkan potensi yang baik dari segi akhlak, hafazan dan akademik bagi sesi 2009. Senarai penerima anugerah tersebut adalah seperti berikut :

1)Anugerah Syakhsiah Cemerlang - i) Syahar Azani bin Yusop

ii) Muhammad Danial bin Hj. Suhaimi

2)Anugerah Kecemerlangan Hafazan - Abdul Hakim bin Dr. Hj. Muhamad Rahimi

3)Anugerah Kecemerlangan Akademik - i) Ahmad Naim bin Dr. Hj. Nor 'Azam

ii) Umair bin Dr. Hj. Ghafarullahuddin
4)Anugerah Pelajar Harapan - Ahmad Hanafi bin Bakkerry

Setelah solat didirikan secara berjemaah, majlis diteruskan dengan penyusunan semula organisasi Jemaah Ibu Bapa MTQI. Senarai nama ahli gerak kerja Jemaah Ibu Bapa MTQI yang terkini adalah seperti berikut :

i) Ahmad Halimi bin Kasani - Pengerusi
ii) Sujak bin Ibrahim - Timb. Pengerusi
iii) Hj. Suhaimi bin Hj. Mohamad - Setiausaha
iv) Bakkery Mohamad - Bendahari
v) Joha Mohamed Shariff - AJK I
vi) Muhammad Radzi Embong - AJK II
vii) S.Salahudin Suyurno - AJK III

Meja pendaftaran pun dibuka bagi pendaftaran sesi 2010 dan kemudian ditutup dengan jamuan ringan makan petang di Dewan Makan Surau al-Islah.


Kemudian, adik-adik baru mula mencari tempat tidur masing-masing di asrama MTQI dibantu oleh Us. Mohd Suhaimi bin Mohd Ardzi dan Ust. anisah binti Ahmad Hafid.

Harapnya ibu bapa dan adik-adik baru dapat menerima seadanya perkhidmatan yang terbaik dapat diberi ini oleh MTQI.

Alhamdulillah, dengan bantuan Us. Yunoos peralatan asrama dapat ditambah bagi memenuhi bilangan kedatangan ahli baru MTQI ini.

Demikianlah, sehari dalam Majlis Hari Pendaftaran dan Silaturrrahim bagi Sesi 2010 yang dapat penulis gambarkan keadaannya untuk tatapan pengunjung semua.

Pertambahan warga MTQI ini datang bersamanya cabaran. Mengurus kecemerlangan dan menjulang pencapaian yang lebih tinggi dari segi hafazan, akademik dan sahsiah bukanlah satu kerja yang enteng dan mudah. Di bahu mu'allim dan Jemaah Pengurusan MTQI lah tertundak tugasan yang sangat hebat ini dalam merealisasikan cita-cita bersama.

Seminggu awal sesi pengajian adik-adik baru ini, cukup menggambarkan bagaimana betapa susahnya untuk mengharungi cabaran dan rintangan yang terwujud tanpa diminta demi menjadi seorang Hafiz al-Quran.

Apakan tidaknya, ada sesetengah dari mereka sambil membaca al-Quran dengan berlinangan air mata kerinduan. Ada juga yang kecut perut pabila melihat abang-abang lama dirotan oleh mu'allim kerana kesalahan dan tidur di dalam kelas. Bahkan ada juga yang meminta-minta dari warden telefon untuk berbual sementara dengan ibu bapa dan keluarga di rumah.

Namun, syabas dan tahniah juga kepada adik-adik baru ini yang ada sesetengah di kalangan mereka yang sentiasa bertanyakan warden tentang jadual harian yang patut dibuat sehingga warden sendiri tidak terdaya memenuhi soalan-soalan itu. Begitu juga semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan ketika menghadiri kelas pengajian dan hafazan.

'Alakullihal, MTQI ucapkan tahniah dan syabas kepada adik-adik baru ini kerana meletakkan diri dalam jalan ini. Semoga cita-cita yang diimpikan itu termakbul jua di suatu hari nanti. Ameen..

Sebelum tatapan ini menutup tirai, MTQI mengucapkan jutaan terima kasih kepada beberapa individu yang telah menyumbangkan beberapa peralatan asrama dan keperluan MTQI seperti katil, tilam, almari, komputer, karpet dan lain-lain lagi. Hanya Allah swt sahaja yang dapat membalas jasa baik itu.

Sekian, terima kasih.

Kita jumpa lagi, wassalam...