Thursday, November 20, 2008

Mari Menghafaz Al-Qur'an!!


TIP-TIP MENGHAFAZ AL-QUR’AN



1. Semangat yang kuat


Banyakkan berdoa, mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan menjauhkan daripada melakukan perbuatan maksiat. Ibu bapa juga mestilah memainkan peranan yang penting dan bersungguh-sungguh mendidik dan mengalakkan anak-anak ke arah itu.


2. Persiapan mental


Perlulah ditanam di dalam jiwa akan keagungan Al-Qur’an iaitu meyakinkan diri bahawa menghafaz Al-Qur'an adalah suatu perbuatan yang mulia dan akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda.


3. Ihtimam (perhatian penuh) terhadap Al-Qur’an.


Sikap ihtimam yang tinggi akan mendorong untuk istiqamah di dalam proses menghafaz walaupun rintangan yang kita hadapi adalah mencabar. Sikap ini dapat dipupuk sekiranya kita dapat menghargai dan menilai kepentingan Al-Qur’an pada diri kita. Tanda-tanda sesuatu pekerjaan yang telah diberi ihtimam iaitu apabila pekerjaan itu terasa sangat perlu sekali untuk dilakukan dalam apa jua keadaan sekalipun.


4. Bijak mengatur waktu


Sekiranya Al-Qur’an ini telah termaktub di dalam jiwa kita, Insya-Allah kita dapat mengatur waktu walau sesibuk mana pun keadaan kita. Tabah dan sabar menghadapi kesulitan menghafaz. Allah SWT akan mengurniakan hikmah dan mewariskan kitab kepada hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh, yakin dan sabar di dalam menghadapi rintangan-rintangan semasa menghafaz Al-Qur’an.





KAEDAH MENGHAFAZ SURAH



1. Ambil ayat pertama - lancarkan terlebih dahulu dengan membaca sekurang-kurangnya 10 kali di hadapan guru.


2. Hafazkan sebanyak 60 kali - bagi mereka yang boleh membaca sendiri bacaan 60 kali itu hendaklah dibuat dengan 5 kali melihat dan 5 kali tanpa melihat.


3. Bagi mereka yang tidak boleh membaca, ibu bapa hendaklah membacakan untuk mereka sebanyak 60 kali secara berperingkat iaitu 20 kali sebelah pagi, 20 kali di sebelah petang dan 20 kali di sebelah malam.


4. Kadar jumlah ayat yang wajar dihafaz bergantung kepada kemampuan anak-anak, serta komitmen masa yang boleh diperuntukkan oleh para guru dan ibu bapa.


5. Selepas ayat pertama telah dihafaz dan disemak dan didapati oleh guru ianya lancar, maka pindahkan ke ayat seterusnya tetapi jangan dipindahkan sekiranya ayat pertama masih lagi tidak lancar dan hendaklah diulang lagi.


6. Ayat kedua dibaca sebanyak 60 kali juga.


7. Setiap kali ayat kedua lancar, diulang sekali ayat 1 dan 2 sekali gus sebanyak 10 kali iaitu 5 kali melihat dan 5 kali tanpa melihat.



*kaedah di atas hanyalah satu kaedah yang disyorkan daripada sekalian banyak kaedah lain. Kaedah diatas amat sesuai diamalkan bagi mereka yang masih baru dalam menghafaz Al-Qur'an. Terdapat pelbagai kaedah menghafaz Al-Qur'an yang boleh diaplikasikan dan berbeza mengikut tahap kecekapan penghafaz tersebut.



No comments: