Saturday, December 12, 2009

PELAJAR CONTOH MTQI 2009



Lembaran 2009 tidak lama sahaja lagi akan melabuhkan tirainya, pejam celik terasa cepat masa berlalu, sedar tak sedar usia MTQI sendiri akan genap 10 tahun...

Dengan pengalaman mendidik anak-anak menjadi generasi al Quran dalam tempoh yang agak lama, syukur alhamdulillah telah ramai anak-anak yang berjaya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pada tahun ini, Ahmad Naim bin Nor'azam telah membuktikan kejayaan sebagai pelajar terbaik MTQI 2009 setelah mendapat keputusan yang cemerlang, UPSR 5A manakala UPSRA mendapat pangkat mumtaz. Selain itu beliau juga telah mengkhatamkan hafazan al Quran 30 juzuk dan merupakan calon yang akan mengambil sijil syahadah tidak berapa lama lagi dalam usia 12 tahun.

Beliau telah mengharumkan nama MTQI dan menjadi kebanggaan para mu'allim serta menjadi qudwah hasanah kepada pelajar-pelajar yang lain.

Kejayaan beliau juga tidak lain atas dorongan ibu bapanya yang prihatin terhadap kecemerlangan akademik dan syakhsiyyah anak-anak sedari usia yang masih mentah.

Harapan dan doa pihak MTQI agar Ahmad Naim terus membuktikan kejayaan yang cemerlang dunia dan akhirat untuk masa yang akan datang. Adapun harapan yang lebih besar, kejayaan beliau menjadi penyuntik semangat buat sahabat-sahabat seperjuangan untuk terus mara mencapai cita-cita.

Monday, December 7, 2009

KHABAR TERKINI MTQI (DISEMBER 2009)

Assalamualaikum wrt. wbt.

Sidang pengunjung yang dirahmati Allah sekalian,

Alhamdulillah, pada kali ini penulis baru berkesempatan untuk bersama-sama dengan pengunjung semua setelah lama tidak berpeluang dan berkesempatan menggerakkan jari-jemari dan mengkhabarkan berita kami di sini:

Alhamdulillah Mtqi telah mendapat guru tasmi'-cum-warden yang baru bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut yang telah ditinggalkan oleh Us. Faez kerana melanjutkan pegajiannya ke Mesir. Beliau ialah Us. Mohd Suhaimi bin Mohd Ardzi, graduan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang al-Quran dan Qiraat.

Isteri beliau juga merupakan pelajar Universiti al-Azhar di dalam bidang yang sama dan masih berbaki setahun untuk menghabiskan sesi pengajiannya turut mewarnai dunia MTQI kini.

Pada bulan November yang lepas, setiausaha MTQI Haji Al-Azmi bin Bakar menangguhkan perkhidmatannya sementara waktu sehingga pertengahan tahun hadapan bagi memberi peluang dan masa untuk beliau menghabiskan kerja-kerja terakhir pembelajaran Phd nya. Oleh itu, jawatan itu disandang oleh Us. Mohd Suhaimi bin Mohd Ardzi sebagai penolong setiausaha I dan Puan Hjh. Ainal Khairi sebagai penolong setiausaha II.


Sidang pengunjung yang dikasihi,

Setelah MTQI berehat cuti Raya Aiduladha selama 10 hari, kini sudah seminggu MTQI mula beroperasi. Nampaknya pelajar di sini sememangnya tidak dibenarkan bercuti panjang sepertimana adik-adik, abang-abang dan kakak-kakak mereka yang di luar sana sedang bercuti.

Namun pihak MTQI akan memberi cuti hujung tahun sekali lagi pada hujung bulan ini sebelum sesi 2010 bakal menjelma.

MTQI juga kini menerima banyak borang permohonan dari adik-adik pelajar yang baru bagi kemasukan di tahun hadapan. Jadi, adik-adik yang berkenaan perbanyakkanlah doa supaya berjaya memasuki MTQI dan seterusnya bakal menjadi ahli-ahli dari golongan penghafaz al-Quran al-Karim.

Tidak dilupakan juga kepada adik-adik MTQI, yang baru-baru ini dilanda sakit mata dan terpaksa balik cuti sakit, harapnya banyakkanlah doa dan cepat-cepatlah sembuh seterusnya dapat meneruskan pengajian dan hafazan seperti biasa, ameen.

Sekian saja khabar terkini dari MTQI. Penulis memohon maaf atas segala penantian pengunjung selama ini.

Semoga kita dapat berjumpa lagi, wassalam...